Wednesday, October 26, 2011

Inovasi perkahwinan umat islam(siri 3)




وَ مِنْ آياتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْواجاً لِتَسْكُنُوا إِلَيْها وَ جَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَ رَحْمَةً إِنَّ في‏ 

ذلِكَ لَآياتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."(Ar-Ruum:21)

Perkahwinan&melangsungkan majlis perkahwinan adalah saranan rasulullah s.a.w.Antara hadis baginda:
"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku(riwayat Al-Bukhari)

Dalam Al-quran juga disebutkan tentang saranan perkahwinan ini.Antaranya seperti yang terkandung dalam surah An-Nur:32 yang berbunyi:

وَ أَنْكِحُوا الْأَيامى‏ مِنْكُمْ وَ الصَّالِحينَ مِنْ عِبادِكُمْ وَ إِمائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَراءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ 

وَ اللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ 

"Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui"

Sudah ada saranan perkahwinan,ada pula saranan mengadakan majlis perkahwinan.Ini juga adalah saranan baginda saw dalam banyak hadis yang antara lainnya berbunyi :

Berkata Nabi s.a.w kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah, “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” 
(Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: Adakan Walimah Walau Dengan Seekor Kambing, 16/154, no. 4769)

Sabda baginda lagi:
 Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” 
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Juga dari Anas r.a, beliau berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.
 (Hadith Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Alhamdulillah kita telah sampai kepada siri yang terakhir tajuk ini.Mudah-mudahan siri-siri yang lalu sedikit sebanyak dapat memberikan kita motivasi dan panduan dalam merealisasikan perkahwinan berlandaskan ajaran islam yang sebenar.

Dalam siri ini,kami ingin menjelaskan adakah orang yang sedang berpuasa itu wajib menghadiri jemputan walimah dan adakah memberi hadiah atau wang(biasanya dalam sampul) disyariatkan atau sekadar adat yang boleh ditinggalkan.

Bolehkah Orang Yang Berpuasa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” 
(Hadith Riwayat Muslim, no. 1431)
Menurut Imam ash-Shan’ani, hadith ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)
Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya. Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.
Dari Jabir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.
 (Hadith Riwayat Muslim, no. 1430)
Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah
Dari Anas r.a, beliau berkata: Setelah Nabi s.a.w menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).  (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Berdasarkan hadith ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan: “Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)
Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah s.a.w dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.
Adapun tentang memberikan wang(dalam sampul),ini adalah juga termasuk dalam hal yang disunatkan.Adalah tidak sepatutnya ada sesetengah individu mengambil hadiah ini dengan mensyaratkan menulis nama di atas sampul tersebut.Ini adalah yang benar-benar pernah berlaku. Apa tujuannya?Untuk memastikan mereka tahu siapa yang datang dan berapa jumlah wang yang diberikan. Sudah pasti begitu juga yang akan mereka berikan kepada si pemberi jika tiba giliran walimah mereka pula. Masya-Allah..
Sekarang kita akan menyambung perbincangan kita tentang perkara-perkara biasa yang diadakan dalam majlis perkahwinan masyarakat islam di Malaysia dan merungkai adakah ianya sesuatu yang dibenarkan islam atau perkara sia-sia yang terlebih baik jika ditinggalkan.


MELONTAR GULA-GULA/COKLAT 

>>> Amalan melontarkan gula-gula atau coklat setelah pengantin diarak.Biasanya disambut oleh kanak-kanak bagi menunjukkan si pengantin sebagai RAJA SEHARI.


PENJELASAN:


>>> Amalan ini tiada dalam ajaran islam.Ianya hanya adat yang boleh ditolak kerana ada unsur-unsur menyerupai perlakuan pengantin agama lain.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.”          (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)


Walaupun niat seseorang hanya mengikut adat,sebenarnya amalan ini tiada manfaatnya selain membazir dan meniru-niru agama lain.Yang paling berat,perlakuan ini diikuti tanpa mengetahui asal-usulnya.Jika kita perhatikan,perlakuan ini memang mirip sekali dengan pengantin kristian yang menabur bunga-bunga dalam majlis perkahwinan mereka.



Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama pula, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.
Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
ALTERNATIF : Eloklah ditinggalkan serta-merta.
  MENYAMBUT TETAMU

>>> Amalan menyambut tetamu yang datang atas jemputan,bersalaman dan mengucapkan salam.Biasanya yang menyambut adalah tuan rumah lelaki atau perempuan.
PENJELASAN:
>>> Amalan ini sememangnya ada dalam islam akan tetapi tidak dikhususkan ketika majlis walimah sahaja. Amalan menghormati tetamu adalah amalan jahiliyah yang diterima pakai oleh islam kerana ianya satu amalan terpuji.Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah s.w.t merakamkan perihal menghormati tetamu dalam kisah Nabi Ibrahim a.s menerusi firman-Nya :
هَلْ أَتاكَ حَديثُ ضَيْفِ إِبْراهيمَ الْمُكْرَمينَ 
إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقالُوا سَلاماً قالَ سَلامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ
فَراغَ إِلى‏ أَهْلِهِ فَجاءَ بِعِجْلٍ سَمينٍ
فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قالَ أَ لا تَأْكُلُونَ 
bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!”, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari).

ALTERNATIF:
Jadi,amalan ini adalah tuntutan dalam kehidupan kita keseluruhannya termasuk dalam majlis walimah. Adapun,perlu diperhatikan beberapa perkara yang perlu dijaga agar tuntutan ini tidak menjadi satu dosa pula.


Antaranya ialah tidak menyambut tetamu dengan bahasa menyindir,tidak pula bersalaman dengan tetamu berlainan jantina(yang bukan mahram) dan sentiasalah menutup aurat.

MEMOTONG KEK PERKAHWINAN   

>>> Upacara memotong kek perkahwinan semasa sebelum makan beradab atau selepasnya.Biasanya dilakukan dihadapan para tetamu yang hadir secara terbuka.

PENJELASAN:
>>> Perbuatan ini juga bukan berasal dari syariat Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

Adapun,kami mengambil pendapat Dr.Yusuf Al-Qardhawi tentang hukum memotong kek dalam majlis harijadi. Menurut beliau,dibolehkan. Ini dilakukan dengan cara mengislamkan upacara ini dengan menutup aurat,tidak berlebih-lebihan,diiringi doa selamat,tidak pula berhias dengan kadar tidak sepatutnya dan yang paling penting ialah niat kita tidaklah kerana untuk mendapat pujian,menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah.Niatlah untuk memberi makan kepada tetamu,tidak membeza-bezakan taraf dan sekadar menjamu makan.


ALTERNATIF:
Jadi,upacara ini adalah dibolehkan. Akan tetapi jika dilihat,tiada manfaatnya upacara ini dan boleh jadi ianya tergolong perkara-perkara yang syubhah. Maka,seandainya anda benar-benar ingin menjaga dari perkara-perkara syubhah,adalah lebih baik MENINGGALKANNYA.


WANG DAN BARANG HANTARAN

>>> Sejumlah wang yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pengantin bersama barang-barang yang biasanya berbalas seperti 3 dulang berbalas 5dulang.
PENJELASAN:
>>> Hal ini sememangnya tiada dalam islam.Sekadar adat semata-mata. Adat ini bukanlah suatu kewajipan. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.



 Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.
Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)
Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.
Allah s.w.t berfirman:
وَ آتُوا النِّساءَ صَدُقاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْ‏ءٍ مِنْهُ نَفْساً فَكُلُوهُ هَنيئاً مَريئاً
Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)
Manakala hantaran pula tiada ditemui nas dan dalilnya. Ia hanyalah disifatkan sebagai hadiah atau bantuan kepada pihak perempuan melaksanakan walimah. Yang menjadi masalahnya ialah jika dilihat kebiasaan masyarakat di Malaysia walimah diadakan pada kedua-dua pihak.

Oleh kerana kebiasaan masyarakat memberikan hantaran,maka sudah pasti kita merasa janggal jika meninggalkan amalan ini. Lebih membimbangkan,masyarakat mula menganggap amalan ini sebagai hal wajib.
ALTERNATIF:
Hal ini tidaklah diharamkan.Akan tetapi perlu diingatkan,biarlah wang hantaran ini ditetapkan sendiri oleh pihak lelaki kerana ianya berupa hadiah darinya. Tidakkah pelik orang yang menerima hadiah menetapkan hadiah apa yang mesti diberikan oleh pemberi?Maka itu tidaklah menjadi hadiah bahkan menjadi 'tanggungjawab' pula.
Ingatlah 2perkara dalam menentukan hantaran,1)tidak menyukarkan perkahwinan dan 2) Tidak berlebih-lebihan dalam perbelanjaan perkahwinan.

BERINAI
>>> Amalan mewarnakan tangan atau kaki dengan sejenis daun yang dinamakan 'inai'.Biasanya digunakan oleh pengantin lelaki dan perempuan sepanjang majlis perkahwinan.


PENJELASAN:
>>> Ada yang diterima dan ada yang ditolak oleh ajaran islam. Ianya diterima dengan jelas jika digunakan oleh kaum perempuan dengan situasi tertentu. Adapun ada pendapat mengatakan ianya HARAM bagi lelaki kecuali untuk tujuan darurat(perubatan).



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


1.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.


2.Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah DIBENARKAN, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah DILARANG.


3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.Wallahua'lam.


Mudah-mudahan dengan tersiarnya kajian tentang artikel ini,dapatlah kita serba-sedikit panduan bagi menjalankan majlis walimah dengan sebenarnya mengikut garis panduan syara'.Marilah sama-sama kita mengINOVASIkan majlis perkahwinan agar diberkati Allah dan terhindar dari dosa yang sengaja atau tidak.Insya-Allah. :)

No comments:

Post a Comment