Wednesday, October 26, 2011

Inovasi perkahwinan umat islam(siri 1)

وَ مِنْ آياتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْواجاً لِتَسْكُنُوا إِلَيْها وَ جَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَ رَحْمَةً إِنَّ في‏ 
ذلِكَ لَآياتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."(Ar-Ruum:21)

Banyak jemputan kahwin yang diterima untuk kita,saban minggu dan tahun.Yang telah melangsungkan majlis pasti menjadi kenangan manis,yang belum melangsungkan pula pasti sedang berura-ura untuk menjadikan majlis perkahwinan kita adalah yang terbaik.Sudah tentu melangit pujian yang kita bakal perolehi.

Ya,perkahwinan&melangsungkan majlis perkahwinan adalah saranan rasulullah s.a.w.Antara hadis baginda:
"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku(riwayat Al-Bukhari)

Dalam Al-quran juga disebutkan tentang saranan perkahwinan ini.Antaranya seperti yang terkandung dalam surah An-Nur:32 yang berbunyi:
وَ أَنْكِحُوا الْأَيامى‏ مِنْكُمْ وَ الصَّالِحينَ مِنْ عِبادِكُمْ وَ إِمائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَراءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَ اللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ 
"Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui"

Sudah ada saranan perkahwinan,ada pula saranan mengadakan majlis perkahwinan.Ini juga adalah saranan baginda saw dalam banyak hadis yang antara lainnya berbunyi :

Berkata Nabi s.a.w kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah, “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” 
(Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: Adakan Walimah Walau Dengan Seekor Kambing, 16/154, no. 4769)

Sabda baginda lagi:
 Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” 
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Juga dari Anas r.a, beliau berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.
 (Hadith Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Jika kita lihat dari hadis di atas,Walimah yang dimaksudkan ialah menjamu makan dan menghebahkan perkahwinan.Memang kita akui,semua jemputan majlis perkahwinan matlamatnya untuk tujuan tersebut di atas.Janggal rasanya majlis perkahwinan yang tiada kenduri-kendara dan jamuan makan.Mungkin ada yang tidak mengadakan kenduri-kendara sekaligus jamuan makan.Hukumnya adalah sunat(tidak menyalahi pada pandangan ulama).Jadi apa masalahnya?

Masalah bermula apabila majlis perkahwinan yang sekadar hebahan dan jamuan makan ini diserikan lagi dengan beberapa perkara HARAM,SYUBHAH dan LAGHOH(sia-sia).Masalah ini masalah agama,bukan boleh ditolak-ansurkan!

Mari kita lihat beberapa perkara tersebut,adakah adat yang dibolehkan dan bagaimana alternatif yang boleh kita laksanakan dalam sesuatu majlis perkahwinan.


  UPACARA MEMBATALKAN WUDUK 

>>> Upacara menyarungkan cincin dan bersalaman antara suami&isteri selepas upacara akad nikah

PENJELASAN:

>>> Upacara ini tiada dalam ajaran islam.Ianya adat semata-mata.Adat itu dibolehkan dalam islam selagi tidak lari dari syariat islam.Adakah adat ini dibolehkan?Mengikut pandangan ulama,bersentuhan suami isteri tidak membatalkan wuduk(dalam apa jua keadaan).Ini mengambil dari FATAAWA AL-LAJNAH AD-DA'IMAH 5/266,ARAB SAUDI:

"Isu ini akan berbeza dikalangan mazhab-mazhab lain. Ulama berselisih samada batal atau tidak wudhu' seseorang itu apabila memegang isterinya. Pendapat yang paling rajih didalam persoalan ini ialah TIDAK batal wudhu', samada memegangnya disebab keinginan atau tidak, kerana Nabi saw mencium isterinya dan tidak memperbaharui wudhu' selepas itu, dan ia juga menimbulkan kesusahan jika wudhu' dikehendaki didalam kes ini. Jika wudhu' tersebut batal, maka Nabi saw sudah tentu akan menyatakannya (dengan mengambil wudhu' kembali).
Bagi upacara menyarungkan cincin pula,dijelaskan oleh syeikh Al-Albani rahimahullah :

 Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)
Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.
Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
Jadi,mengapa perlunya upacara ini?sedangkan suami isteri tidak batal wuduknya.Maka,ia dikategorikan sebagai perkara yang SIA-SIA.
ALTERNATIF : Tiada.

  UCAPAN KEPADA PENGANTIN 

>>> Ucapan tetamu samaada mahram atau ajnabi dengan kebiasaan ucapannya berbunyi SELAMAT PENGANTIN BARU,MOGA KEKAL DAN BERBAHGIA KE ANAK CUCU/KE AKHIR HAYAT.

PENJELASAN:

>>> Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi. Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan: “Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” 
(Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah s.a.w sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib. Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan: “Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”
‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” 
ALTERNATIF : 
‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “Jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?” ‘Uqail berkata, “Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)
Adapun begitu,mendoakan pengantin adalah amalan yang baik dan tidaklah semestinya dengan doa tersebut di atas semata-mata.Asalkan kita tahu maksud doa itu dan niatkan ikhlas mendoakan pengantin,tidaklah menjadi kesalahan.
  ALUNAN MUZIK DAN NYANYIAN

>>> Suatu bentuk hiburan tambahan bagi menghiburkan tetamu,juga bagi memberi isyarat berlangsungnya sesuatu majlis di situ.

PENJELASAN:

>>> Upacara ini ada dalam islam tapi tidaklah diwajibkan.Ini pernah diriwayatkan oleh saidatina A'isyah r.ha dalam riwayat Al-Bukhari yang berbunyi:
“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”

Jelas baginda lagi:
“Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”
 (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Menjadi kebiasaan pihak pengantin menjamukan set karaoke,lagu-lagu rock yang hingar-bingar,percampuran lelaki dan wanita serta berpakaian membuka aurat atau yang bukan-bukan.Menggunakan perkataan yang tidak islamik atau juga menjerit-jerit untuk mencuri tumpuan.Ini adalah menyalahi syarak.

ALTERNATIF:

Jadi,muzik yang dibolehkan adalah kompang(kebiasaannya nasyid) dan muzik yang tidak membangkitkan nafsu(asyik) dan mempunyai lirik yang baik.Berlainan dengan karaoke dan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang mengajak kepada ikhtilat dan sebagainya(yang diharamkan).
Maka,jika ianya islamik-ia DIHARUSKAN akan tetapi jika tidak-ia DIHARAMKAN.

  PERSANDINGAN

>>> Upacara pengantin duduk di atas pelamin,disambut tetamu yang datang,merenjis dan menepung tawar.

PENJELASAN:

>>> Amalan ini tiada dalam islam.Ini adat semata-mata.Adakah ianya dibolehkan?Sesetengah ulama berpendapat ianya tidak dibolehkan.Mereka berpendapat begitu bukan kerana persandingan ini adat agama lain semata-mata akan tetapi merka berpendapat begini:
Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” 
(Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.
 (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat,ianya(bersanding) itu dibenarkan akan tetapi dengan syarat ianya dilakukan dihadapan mahram sahaja,tidak bersolek keterlaluan,tidak beraksi dengan aksi-aksi yang ghairah dan tidak menyusahkan dalam perbelanjaan.

ALTERNATIF:

Kesimpulannya,adakah upacara ini ada keperluannya?Bagi Pendapat penulis,mungkin ianya boleh dilaksanakan demi keperluan menjaga dari menjadi buah mulut(fitnah) orang.Itu cuma pendapat.Sekali lagi,jika upacara ini ada keperluannya-diharuskan tetapi jika tidak-ianya perbuatan SIA-SIA.Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment